Wednesday, 23 July 2014

Ugutan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mahu menarik diri dari Pakatan Rakyat jika PAS masih meneruskan agenda hudud ditempelak Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Ketika dihubungi pihak Radio Free Sarawak, Baru Bian berkata beliau berasa kesal kerana Chong mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan PKR Sarawak konsisten membantah hudud dan pelaksanaan hudud di Malaysia.

“Sukar untuk hudud mendapat persetujuan 2 per 3 ahli dewan rakyat, dan PKR anggap isu hudud sebagai retorik politik sahaja dan pakatan perlu berhati-hati” katanya yang disiarkan sarawakiana.net hari ini.

Semalam, The Borneo Post melaporkan pada mesyuarat DAP Sarawak memutuskan, parti itu tidak terlibat atau menyertai semua aktiviti dianjurkan PR dan PAS berkuat kuasa serta-merta sehingga dua syarat ditetapkan mereka dipenuhi oleh PAS.

Kedua-dua syarat itu adalah PAS mesti kembali kepada dasar-dasar bersama manifesto PR dalam Pilihan Raya Umum lalu dan PAS tidak akan meneruskan niat untuk melaksanakan hukum hudud di Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media di pejabat DAP Sibu berkata pihaknya tidak berkompromi mengenai isu keagamaan walaupun harus ke meja rundingan bercakap tentang pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang sehingga kedua-dua syarat itu dipenuhi.

Katanya DAP Pusat di Semenanjung Malaysia tidak akan campur tangan dalam DAP Sarawak, bagaimanapun mereka (DAP Sarawak) akan memaklumkan resolusi mesyuarat semalam kepada DAP Pusat.

Chong berkata, mereka membiarkan kepimpinan pusat membicara perbezaan agama dengan PAS namun jika isu perbezaan agama tidak dapat diselesaikan mereka membuat keputusan keluar daripada PR.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap rakan dalam PR, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya berdiam diri terhadap isu pelaksanaan hukum hudud.

“Ketika PAS ingin meneruskan niat melaksanakan hukum hudud, PKR berdiam diri tanpa membuat sebarang pendirian,” ujarnya sambil menambah bahawa PAS Kelantan telah bertemu dengan Jabatan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan hukum hudud di negeri itu pada Khamis lalu.

Chong berkata pelaksanaan hukum hudud menarik perhatian orang ramai selepas kajian dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kesahan pelaksanaan hukum hudud melampaui Pelembagaan Persekutuan.

“DAP Sarawak membuat resolusi bahawa pelaksanaan hukum hudud bertentangan dengan manifesto bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu, Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

“DAP Sarawak kecewa dengan tindakan PKR yang berdiam diri dan selagi permintaan dan syarat DAP Sarawak tidak dipenuhi, kita menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan tidak akan terlibat atau menyertai semua aktiviti yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan PAS,” katanya.

Respon terhadap perkara itu, Ketua Umum PKR menolak dakwaan DAP Sarawak bahawa beliau berdiam diri dalam isu hudud dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Anwar, beliau telahpun menyentuh isu tersebut ketika membuat ucapan di Forum Khas “Agenda Rakyat” di Kelab Diraja Selangor 9 Julai lalu.

“Bertentangan dengan kenyataan DAP Sarawak, saya ada bercakap mengenai hal itu dua minggu lalu dalam ucapan saya di Kelab Selangor.

“Ia berkaitan keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama. Saya membuat rujukan spesifik tentang isu hudud di Kelantan,” kata beliau dalam sidang media di ibupejabat PKR tengah malam semalam, lapor Malaysiakini.

Menurut Anwar, cadangan membawa usul rang undang-undang persendirian Hudud oleh Kerajaan negeri Kelantan bukan merupakan insisatif negeri itu sendiri dan bukannya dasar Pakatan.

Oleh itu beliau berpendapat hal itu tidak perlu dirisaukan komponen Pakatan di negeri lain.

“Rang undang-undang persendirian itu bukan rang undang-undang Pakatan Rakyat.

“Tiada sebarang konsensus mengenai rang undang-undang itu,” katanya.

Beliau turut berkata akan mengambil kesempatan bertemu pimpinan Pakatan di Sarawak bagi membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Saya akan membawa ucapan saya di Kelab Diraja Selangor dua minggu lalu kepada pimpinan Pakatan Rakyat Sarawak,” katanya.

Malaysiakini turut melaporkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid yang tidak menghalang sekiranya DAP negeri mahu keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran pertikaian pelaksanaan hudud di Kelantan.

“PAS tidak akan menghalang jika ia untuk kepentingan DAP Sarawak. Namun PAS ingin menegaskan bahawa setiap langkah yang tidak bijak akan membinasakan sesebuah organisasi.

“PAS tetap akan memberi kerjasama dengan rakan Pakatan lain sekiranya mereka masih memerlukan PAS,” kata beliau semalam.

Beliau mengulangi pendirian PAS bahawa Kanun Jenayah Syariah 1993 (Hukum Hudud) hanya akan dilaksanakan di Kelantan, bukannya di Sarawak dan berharap masalah ini diselesaikan secara perbincangan.

“Dari segi demokrasi untuk mewujudkan undang-undang hudud dalam Sarawak perlukan dua pertiga undi ADUN untuk pinda undang-undang tubuh Sarawak.

“Kerajaan Kelantan termaktub kepada keputusan kerajaan negerinya untuk melaksanakan kanun jenayah syariah dan DAP Sarawak tidak berhak menyoal keputusan kerajaan negeri lain,” jelasnya.

Adam turut menyatakan betapa PAS Sarawak mengikut pendirian PAS dan tidak akan mengkhianati buku Jingga dan prinsip bersama yang dipersetujui rakan dalam Pakatan sebagai janji “setiakawan”.

“PAS Sarawak sedar sokongan rakyat kepada mereka semakin meningkat malah majoriti undi adalah daripada bukan Muslim. Apakah ini juga membuktikan agenda PAS selama ini ditolak oleh rakyat?” kata beliau.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Recent Comment